Back to Top

News

 

Bookmark and Share

MALAYSIA AIRPORTS PERUNTUK RM150,000 BAGI PROGRAM KOMUNITI@LAPANGAN TERBANG, TERUS KOMITED BANTU KOMUNITI SETEMPAT YANG KURANG BERKEMAMPUAN

19 May 2017

SEPANG – Malaysia Airports meneruskan siri gerak kerja inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dan kali ini dengan pelancaran program Komuniti@Lapangan Terbang (Airport@Community), yang bertujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti setempat di sekitar kawasan syarikat itu menjalankan operasi perniagaan mereka. 

Program Komuniti@Lapangan Terbang ini merupakan salah satu dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports, refleksi kesungguhan dan komitmen syarikat untuk turut sama membantu meringankan beban kehidupan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di Malaysia melalui bantuan secara kewangan mahupun berbentuk barang-barang keperluan asas dalam memastikan kelangsungan kehidupan komuniti yang lebih baik.

Sebanyak RM30,000 dari jumlah keseluruhan RM150,000 yang telah diperuntukkan untuk program ini akan digunakan untuk membaik pulih tiga buah kediaman yang didiami oleh komuniti setempat yang tidak berkemampuan di sekitar daerah Sepang.

Berkongsi harapan dan komitmen Malaysia Airports dalam menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Datuk Badlisham Ghazali, Pengarah Urusan Malaysia Airports berkata, “Sejak dari awal penubuhan Malaysia Airports lagi, kami terus komited dalam menjalankan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membantu komuniti setempat di mana kami menjalankan operasi perniagaan kami dan hari ini, kami melancarkan satu lagi program, Airport@Community dengan harapan dan aspirasi yang sama, untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan ini menjalani kehidupan yang lebih baik, Menariknya bagi program Airport@Community ini, kami akan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan kediaman mereka bagi memastikan mereka mempunyai kediaman yang selesa untuk didiami. Apatah lagi dengan bulan Ramadan dan Syawal yang akan tiba nanti, besar harapan kami agar mereka ini dapat menyambut bulan yang mulia ini di kediaman yang lebih selesa.”

“Insha Allah, program ini akan dijalankan bukan hanya kepada komuniti setempat di daerah Sepang, tetapi juga kepada komuniti setempat lain di mana kami menjalankan operasi perniagaan kami di seluruh Malaysia,” tambah Badlisham lagi.

Saniah Mohamad Nor, 70, yang bekerja sebagai pekerja am merupakan penerima pertama bagi program ini. “Makcik berasa amat bersyukur ke hadrat Allah SWT dan pihak Malaysia Airports yang begitu prihatin akan nasib kami yang kurang berkemampuan dengan memberikan sumbangan yang amat bermakna ini, apatah lagi tidak lama lagi kita semua akan mula berpuasa dan menyambut kedatangan Syawal. Terima kasih.”

Menerusi program ni, Malaysia Airports akan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan termasuk kerja-kerja menukar bumbung kediaman, membina bilik air dan dapur. Di majlis yang sama, Malaysia Airports turut menyampaikan sumbangan barang keperluan asas sempena kedatangan bulan Ramadan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Zainol Mohd Isa, Pengurus Besar Kanan MA Sepang, Mohd Arif Jaafar, Pengurus Besar MA Sepang dan Mohd Nor Fadhli Yohman, wakil daripada Lembaga Zakat Selangor Daerah Sepang.


Advertisement
FB Like Banner
Events Calendar