Malaysia Airports Tambah 194 Kakitangan Keselamatan Penerbangan
Malaysia Airports Tambah 194 Kakitangan Keselamatan Penerbangan

SEPANG, 9 Oktober - Malaysia Airports hari ini meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang kendaliannya apabila seramai 194 orang pelatih keselamatan penerbangan menamatkan Latihan Asas Polis Bantuan.

Pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Anggota Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports yang diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini, kakitangan keselamatan penerbangan pengambilan siri 1/2009 secara rasminya telah menamatkan kursus yang telah dijalankan sebanyak tiga fasa iaitu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur bermula pada 20 April 2009 hingga 19 Jun 2009, di Pusat Latihan Malaysia Airports Pulau Pinang bermula 22 Jun 2009 hingga 11 September 2009 dan On-job Training di KLIA bermula 13 September 2009 hingga 27 September 2009 .

Penambahan jumlah kakitangan keselamatan penerbangan ini adalah selaras dengan langkah-langkah keselamatan yang sentiasa diutamakan oleh Malaysia Airports di semua lapangan terbang demi memastikan keselamatan para penumpang dan pengguna lapangan terbang. Kakitangan keselamatan penerbangan yang baru menamatkan kursus ini akan ditempatkan di semua lapangan terbang seluruh Malaysia.

Y.Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman menyatakan: "Penambahan anggota keselamatan lapangan terbang ini juga adalah salah satu usaha berterusan Malaysia Airports untuk meningkatkan tahap perkhidmatan keselamatan yang ditawarkan di seluruh lapangan terbang kendalian kami dari masa ke semasa. Tambahan pula, lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke negara kita, oleh itu, tahap keselamatan hendaklah berada di tahap terbaik setiap masa."

"Tambahan pula, kehendak para pengguna lapangan terbang sentiasa meningkat, selaras dengan keperluan semasa industri penerbangan yang semakin mencabar dari masa ke semasa, jadi Malaysia Airports perlulah senantiasa memastikan tahap perkhidmatan yang disediakan berada pada tahap yang terbaik, tambah Tan Sri Aris.

Sambung beliau: "Bilangan anggota keselamatan Malaysia Airports juga terus ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan, dan setakat ini kita mempunyai kekuatan polis bantuan melebihi 2,500 orang di seluruh lapangan terbang kendalian kita."

Tan Sri Aris turut menyatakan: "Malaysia Airports amat berbangga dapat bekerjasama dengan PULAPOL dalam melengkapkan latihan rekrut baru Polis Bantuan Malaysia Airports. Malaysia Airports yakin bahawa kerjasama ini akan dapat diteruskan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan kebolehan anggota Polis Bantuan Malaysia Airports."

Pada tahun 2005, Malaysia Airports telah mengumumkan pemakaian pakaian seragam baru bagi para pegawai dan anggota Polis Bantuan lapangan terbang yang menampilkan warna serta spesifikasi yang sama seperti pakaian seragam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta logo baru Perkhidmatan Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports.

Malaysia Airports yakin dengan penambahan jumlah kakitangan keselamatan ini, tahap perkhidmatan keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang di bawah kendaliannya akan dapat ditingkatkan selaras dengan perkembangan industri penerbangan awam. Malaysia Airports juga yakin bahawa semua kakitangan keselamatannya, khususnya yang baru tamat latihan ini, akan dapat menunjukkan prestasi dan komitmen yang tinggi.

Turut hadir pada Majlis Tamat Latihan ini adalah Y.Bhg. Dato' Haji Mohd Fauzi Saari, Ketua Polis Negeri Selangor.