KOTA KINABALU - Seramai 150 pelajar dari komuniti Kota Kinabalu telah menerima manfaat melalui program Ceria Kembali ke Sekolah, yang merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Korporat (CR) Malaysia Airports, MyAirportCARES. Dengan nilai sumbangan sebanyak RM87,000, program ini dijalankan di bawah salah satu daripada tunggak tanggungjawab korporat syarikat iaitu Pengukuhan Komuniti dan Belia Melalui Pendidikan. Ia bertujuan untuk memberikan motivasi kepada para pelajar agar menghadapi sesi persekolahan baharu dengan semangat yang tinggi dan kelengkapan yang mencukupi.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato Mohd Izani Ghani, yang turut hadir, berkata, “Pendidikan merupakan asas pembangunan negara. Generasi muda hari ini adalah pelapis pemimpin negara yang akan memacu Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Oleh itu, bantuan ini bukan sekadar untuk melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak ini, tetapi untuk menyuntik motivasi agar mereka terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka.”
Setiap pelajar telah menerima baucar membeli-belah bernilai RM400 untuk digunakan semasa program yang berlangsung di Imago Mall pagi tadi. Kerjasama dengan Yayasan MyKasih juga memperuntukkan tambahan RM180 setiap pelajar melalui kad pintar, membolehkan mereka membeli barang keperluan di kedai buku sekolah dari Januari hingga Mac 2025.
Pihak pengurusan tertinggi Malaysia Airports serta 35 orang sukarelawan dari kalangan wargakerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu turut mengambil peluang untuk beramah mesra dan menyantuni para pelajar tersebut. Kehadiran mereka membuktikan komitmen Malaysia Airports terhadap program ini di samping memberikan semangat dan sokongan moral kepada para pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan datang dengan
lebih yakin.
Program sebegini turut diadakan di Langkawi pada Disember 2024. Sejak dilancarkan pada 2018, MyAirportCARES telah memanfaatkan lebih 4,000 pelajar di seluruh negara, menyediakan bantuan kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, beg, kasut, alat tulis, dan lain-lain, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM1.2 juta.