Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

KOMITMEN MALAYSIA AIRPORTS PERKASA TAHAP KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG DIBUKTIKAN MENERUSI PENTAULIAHAN PEGAWAI DAN ANGGOTA KESELAMATAN PENERBANGAN BARU

SEPANG – Tahun 2020 yang baru sahaja sebulan membuka tirainya dan pada hari ini, sejarah menyaksikan pentauliahan Polis Bantuan Malaysia Airports Skuad MAHB 26/2019 yang terdiri daripada seramai 17 pegawai dan 249 anggota keselamatan penerbangan atau lebih dikenali sebagai Aviation Security (AVSEC). Pentauliahan ini merupakan sebahagian daripada salah satu usaha Malaysia Airports bagi memperkasakan dan mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan kesemua 39 lapangan terbang di bawah kendaliannya di Malaysia.

Sebuah Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) telah diadakan sebagai tanda pentauliahan rasmi pada pagi ini. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Yang Dihormati IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bin Bador; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh; Yang Dihormati SAC Dato’ Kumaran A/L Karupannan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK Selangor; dan Yang Dihormati Senior Asisten Komisioner Polis, Tuan Mohd Soaihami Bin Rahim, Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan JP JKK Bukit Aman, dan Pemangku Pengurus Besar Keselamatan Penerbangan, Tuan Zulkifli Bashir selain disertai oleh pihak pengurusan kanan Malaysia Airports dan hampir 1,000 orang ahli keluarga di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (Kod IATA: KUL).

Menurut Tuan Zulkifli, “Sejajar dengan inisiatif Malaysia Airports ke arah ‘Creating Happy Guests, Becoming Caring Hosts’, pihak Pengurusan Malaysia Airports sentiasa memastikan bilangan pegawai dan anggota yang mencukupi untuk melaksanakan pengoperasian keselamatan di lapangan terbang yang merupakan sebuah pintu masuk ke dalam negara. Ianya juga merupakan persediaan terhadap pematuhan piawaian peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang dinilai melalui beberapa siri pengauditan seperti ICAO Universal Security Audit Programme – Continuous Monitoring Approach (USAP-CMA), Transportation Security Administration (TSA) Audit, Last-Port of Call (LPOC) Audit, pengauditan oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Malaysia Aviation Commission (MAVCOM), Chief Government Security Office (CGSO), Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia.”

Dengan pengambilan skuad baru, kekuatan pegawai dan anggota AVSEC di seluruh negara kini berjumlah 4,120 orang yang terdiri daripada 258 pegawai dan 3,862 anggota yang ditempatkan di kesemua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports menjadikannya sebuah agensi polis bantuan terbesar di negara ini. Selain menjadikan pasukan ini lebih kuat dan mampu mengekalkan tahap kawalan, operasi keselamatan penerbangan juga dijamin berada di tahap yang tinggi dan terbaik.

Secara asas, bagi melengkapkan semua pelatih dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bertugas dalam bidang keselamatan penerbangan, kesemua pelatih pegawai dan anggota AVSEC ini dikehendaki melalui latihan intensif yang melibatkan tiga fasa dalam tempoh enam bulan selepas proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan dijalankan. Bagi tujuan tersebut, para pelatih telah didedahkan kepada Program Latihan Asas Pegawai Kanan dan Anggota Polis Bantuan Fasa 1 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur selama 9 minggu selain menghadiri kursus ICAO seperti Supervisory Course & Crisis Management Course bagi pelatih pegawai.

Mereka turut melalui Program Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan selama 9 minggu di peringkat latihan asas Fasa 2, seterusnya ditempatkan sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA dan klia2) dalam Program On-Job Training selama 8 minggu di peringkat latihan asas Fasa-3. Di antara modul latihan yang diberikan adalah merangkumi aspek kepolisan, perundangan antarabangsa dan undang-undang Malaysia; peraturan-peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) serta pelan kontinjensi menangani kecemasan dan ancaman keganasan di lapangan terbang.

Bagi memastikan pasukan polis bantuan ini mempunyai barisan pelapis, baru-baru ini, Malaysia Airports telah membuka peluang kepada warganegara yang berminat untuk menceburi bidang kepolisan dengan mengadakan temuduga terbuka pengambilan polis bantuan yang menyaksikan penyertaan seramai hampir 3,552 pemohon dan daripada jumlah tersebut, cuma 598 orang calon berjaya melayakkan diri mereka ke peringkat saringan seterusnya. Beberapa sesi temuduga sama turut akan dijalankan di tiga lokasi lagi iaitu Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu. Malaysia Airports meletakkan sasaran keseluruhan seramai 850 calon bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Perkara ini membuktikan pemilihan calon rekrut dibuat dengan amat prihatin bagi memastikan kualiti bakal polis bantuan adalah yang terbaik.

Agenda majlis tersebut turut menyaksikan pemeriksaan perbarisan oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid dan Dato’ Mohd Shukrie. Selain itu, anugerah penghargaan juga telah diberikan kepada pelatih- pelatih terbaik dalam bidang akademik, latihan luar (lelaki dan wanita) serta pelatih terbaik keseluruhan. 

You might also like:

SEPANG - Penang continues to demonstrate its attractiveness as a top travel destination as…

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

Section Heading