Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

Kualiti Perkhidmatan Klia Ditingkatkan Lagi Melalui Kerjasama Malaysia Airports Dan Pdrm Dalam Melancarkan Pergerakan Trafik Di Kawasan Lapangan Terbang

Penguatkuasaan Penundaan Kenderaan Di Lapangan Terbang Antara Dua Pihak Dicapai Melalui Sebuah Memorandum Persefahaman 

SEPANG - Sebuah memorandum persefahaman dimeterai di antara Malaysia Airports dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertujuan mempergiatkan kerjasama penguatkuasaan penundaan kenderaan bagi memastikan kelancaran aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Persetujuan ini ditandatangani oleh pengarah urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor pada awal hari ini bertempat di Depoh Simpanan Kenderaan PDRM, KLIA.

Menerusi penelitian yang telah dijalankan, masih terdapat segelintir pemandu gagal dalam mematuhi arahan lalu lintas di kawasan lapangan terbang. Kebanyakkan pemandu memarkir kenderaan mereka secara haram di bahu jalan (kerbside) dan ia merupakan salah satu punca kesesakan di kawasan perlepasan atau ketibaan lapangan terbang. Salah satu langkah tegas yang telah diambil oleh PDRM untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menunda kenderaan-kenderaan tersebut. Sehubungan itu, pihak Malaysia Airports telah mewujudkan sebuah depoh simpanan kenderaan untuk PDRM bagi memudahkan proses penuntutan balik kenderaan yang ditunda oleh pemilik. 

Badlisham berkata “Kerjasama ini merupakan salah satu usaha kami dalam memastikan kelancaran perjalanan para penumpang dan pengunjung KLIA terutama di kawasan bahu jalan. Walaupun kami akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah lalu lintas tetapi kami juga akan memastikan proses ini berjalan lancar. Dengan adanya depoh simpanan kenderaan ini, ia bukan sahaja akan memudahkan tugas pihak polis untuk menyimpan kenderaan yang ditunda, malah ia dapat memudahkan pemilik kenderaan untuk menuntut kenderaan mereka.”

Awal tahun ini, ekoran pertambahan penumpang di lapangan terbang, Malaysia Airports telah menyediakan perkhidmatan meletak kenderaan secara percuma selama 30 minit di Kawasan Parkir Jangka Panjang (LTCP). Kemudahan ini memanfaatkan para pemandu sekiranya mereka perlu menunggu ketibaan penumpang di lapangan terbang untuk tempoh masa yang lama. 

Inisiatif penundaan kenderaan di kawasan bahu jalan ini selaras dengan objektif Malaysia Airports dalam meningkatkan kualiti servis perkhidmatan kepada para pengguna lapangan terbang terutamanya di KLIA dan klia2. Selain mewujudkan LTCP, antara inisiatif lain yang telah dijalankan Malaysia Airports bagi tujuan mengekang masalah kesesakan adalah dengan pemasangan tonggak jalan di jalan raya serta menyediakan kawasan lapang yang dapat memuatkan hampir 400 buah kenderaan pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’. 

Selain daripada itu, pelbagai pembaharuan lain juga turut dilakukan di KLIA untuk menambahbaik pengalaman penumpang seperti mewujudkan kiosk-kiosk daftar masuk layan diri serta perkhidmatan daftar masuk bagasi automatik. Pemasangan lampu hijau di setiap kaunter bagasi juga turut dilakukan bagi memudahkan para penumpang mengenal pasti kaunter yang boleh dituju. Video demonstrasi prosedur keselamatan juga turut ditayangkan di kesemua skrin kawasan pemeriksaan keselamatan bagi membimbing para penumpang tentang apa yang perlu dilakukan. Kesemua inisiatif ini dijalankan bagi memudahkan serta menjimatkan masa penumpang semasa berada di lapangan terbang.  

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata “Menerusi perjanjian persefahaman yang dimeterai ini, ianya akan berkuatkuasa serta merta bagi tempoh tiga tahun. Anggota kami akan membuat pemantauan berterusan di sepanjang kawasan lapangan terbang KLIA dan klia2 bagi pemandu-pemandu yang masih degil dan tegar. Sebuah unit kenderaan tunda diperuntukkan bagi tujuan menunda kenderaan dan dimana seterusnya ia akan dibawa ke depoh simpanan ini bagi tujuan tuntutan semula pemilik selepas itu. Penalti secara tunai akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan sebelum mereka boleh menuntut kembali kenderaan yang telah ditunda”.

Tambah Badlisham, selain membenarkan kenderaan untuk berhenti selama dua minit sahaja di bahu jalan bagi tujuan menurunkan penumpang, terdapat penanda jalan baru yang telah diletakkan di kawasan lalu lintas di lapangan terbang bagi memudahkan pemandu mengenalpasti zon serta memaklumkan akan lokasi sebenar mereka bagi tujuan mengambil penumpang. Inisiatif ini diharap dapat memberikan pengalaman yang baik dan ceria kepada para penumpang semasa berada di lapangan terbang kami.  

Badlisham turut menyimpulkan keyakinan Malaysia Airports dengan usaha-usaha  yang dijalankan ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman ceria kepada para pengguna KLIA selaras misi syarikat, ia juga diharap dapat menyumbang kepada peningkatan posisi KLIA di dalam kedudukan perkhidmatan di peringkat global. 

Turut hadir pada majlis memeterai memorandum persefahaman ini adalah Encik Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan Malaysia, ACP Zulkifli Adamsah, Ketua Polis KLIA, PDRM dan Encik Mohammad Suhaimi Abdul Mubin Pengurus Besar Kanan KLIA Malaysia Airports.

You might also like:

SEPANG - Penang continues to demonstrate its attractiveness as a top travel destination as…

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

Section Heading