Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

Kualiti Servis Perkhidmatan Bakal Dipertingkat Hasil Kolaborasi Perkongsian Kepakaran Antara Malaysia Airports Dan Universiti Teknologi Mara

SEPANG - Mutu perkhidmatan kakitangan Malaysia Airports disasarkan dapat ditingkatkan dengan usahasama yang dijalinkan menerusi pemeteraian sebuah memorandum persefahaman selama tiga tahun bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) pagi ini yang bertujuan untuk mempergiat pertukaran dan perkongsian kepakaran di antara kedua-dua organisasi.

Kerjasama ini bakal mempromosikan serta mewujudkan peluang-peluang penerokaan bagi membangun dan menyokong penyelidikan dalam bidang yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak. Melalui pengkongsian maklumat dan pengetahuan ini, ia dapat membantu kakitangan Malaysia Airports mengadaptasi pengetahuan yang dikongsi untuk diaplikasikan dalam menambahbaik sistem kerja harian. Tidak ketinggalan, manfaat yang sama juga dapat digunakan para penuntut UiTM sebagai persiapan mereka meningkatkan daya kebolehpasaran di dalam dunia pekerjaan setelah tamat pengajian. 

Pengarah urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali berkata, “Malaysia Airports sebagai pengendali lapangan terbang melihat peluang bekerjasama bersama UiTM iaitu sebuah institusi pengajian tinggi tersohor di Malaysia sebagai satu peluang keemasan. Selain daripada perkongsian intelektual, kolaborasi ini juga membuka peluang kepada para pelajar untuk lebih memahami akan operasi harian kami dalam mengurus serta menyelenggara sesebuah lapangan terbang. Saya percaya ilmu ini kemudiannya dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam mempersiapkan diri mereka ke dunia pekerjaan yang sebenar di luar.  Dari segi kakitangan kami pula, setiap aktiviti dapat dijadikan sebagai nilai tambah dalam menjalankan rutin harian bagi menjadikan setiap daripada mereka seorang yang tinggi daya saing”.

Ujar Badlisham lagi “Kerjasama seperti ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat oleh Malaysia Airports dalam usaha memberi nilai tambah dan sumbangan sosial kepada masyarakat sekeliling terutamanya kepada para belia”. 

Salah satu teras pembangunan modal insan menggariskan perlaksanaan penambahbaikan yang komprehensif terhadap sistem penyampaian. Sehubungan itu, pelbagai modul aktiviti dan program telah direncanakan bagi tujuan pertukaran pendapat dan kepakaran. Di antara bidang kerjasama termaktub di bawah memorandum persefahaman ini adalah dengan membangunkan penyelidikan bagi bidang-bidang yang relevan bagi kedua-dua pihak serta aktiviti dan program yang bersesuaian akan diadakan selari dengan manfaat jangka panjang yang bakal diperolehi kelak. 

Naib Canselor UiTM, Professor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said berkata, “Pihak UiTM sentiasa mengorak langkah untuk mencari peluang-peluang kerjasama bersama syarikat korporat untuk memberi pendedahan kepada para penuntut dalam usaha menjadikan mereka mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di dunia pekerjaan di luar. Kerjasama ini memberi suatu ruang lingkup yang luas bagi pengkongsian maklumat dan kepakaran. Kami amat berbesar hati dengan peluang untuk bersama-sama Malaysia Airports dalam memacu inisiatif ini dan kami berharap semoga lebih banyak kolaborasi bersama seumpamanya dapat dijalankan pada masa hadapan”.

Pada peringkat awal, kolaborasi ini telah dijalankan antara kakitangan Malaysia Airports dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM. Ini telah memberi manfaat kepada kakitangan Malaysia Airports terutamanya kepada anggota keselamatan di lapangan terbang yang bertugas sepanjang masa. Ianya akan dikembangkan lagi kepada jabatan-jabatan berkaitan lain di Malaysia Airports dari masa ke semasa. Antara contoh pertukaran kepakaran yang bakal dijalankan adalah tenaga pengajar kecergasan anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bagi program Fat-To-Fit (Fat2Fit) akan mendapat perkongsian latihan program kecergasan terkini daripada jurulatih kecergasan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, manakala modul kecergasan yang telah dibangunkan oleh fakulti ini bakal diadaptasikan di dalam latihan kecergasan yang akan digunapakai kepada para anggota AFRS di semua lapangan terbang di Malaysia. Para anggota juga boleh memanfaatkan pelbagai kelengkapan sukan dan latihan kecergasan yang dimiliki di fakulti ini di mana-mana cawangan lain di seluruh negara.   

Menerusi kolaborasi unik ini, selaras dengan Pelan Perniagaan 5 tahun Malaysia Airports iaitu Runway to Success 2020 (RtS2020), penekanan Malaysia Airports dalam memainkan peranan untuk menjadikan industri penerbangan sebuah tunjang penggerak ekonomi utama negara juga diberi perhatian. Justeru itu, Jabatan Kejuruteraan Malaysia Airports mengambil pendekatan untuk memberikan latihan asas serta pendedahan kejuruteraan kepada para pelajar UiTM berkenaan skop pekerjaan dan tugasan harian yang perlu dilakukan bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi seharian di lapangan terbang. Para penuntut juga boleh merebut peluang untuk menjalankan peluang menjalankan latihan industri di Malaysia Airports sekiranya terpilih.   

Dari tahun 2016 sehingga April 2018, Malaysia Airports telah mengambil seramai 50 orang pelatih dari UiTM bagi tujuan latihan industri sebagai persediaan mereka dalam dunia pekerjaan. Majlis memeterai memorandum persefahaman ini turut diserikan dengan kehadiran Professor Dr Zaini Abdullah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Hj Razali Mohamed Salleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), En Izham Ab Wahab, Pengurus Besar Perkhidmatan Sumber Manusia Malaysia Airports, En Abd Malik Mohd Yunus Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba & Menyelamat Malaysia Airports, Puan Ir Khairiah Salleh Pengurus Besar Bahagian Kejuruteraan Malaysia Airports.

You might also like:

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

SEPANG - Malaysia Airports (the Group) and the Government of Malaysia (GoM) officially…

SEPANG - Langkawi International Airport (LGK) once again won the 2023 Airport Service…

Section Heading