Seramai 229 Rekrut Pegawai dan Anggota Keselamatan Penerbangan Ditauliahkan Dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas
SEPANG - Malaysia Airports meneruskan usaha memperkasakan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan lapangan terbang di seluruh negara dengan mentauliahkan seramai 229 pegawai dan anggota keselamatan penerbangan di dalam sebuah Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Siri 1/2018 yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Kamarudin Jaffar, Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Datuk Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Antarabangsa KL (KLIA) pada pagi ini.
Pengambilan skuad baru ini terdiri daripada 28 pelatih pegawai berpangkat inspektor polis bantuan dan 201 pelatih pembantu keselamatan penerbangan berpangkat konstabel polis bantuan. Jumlah kekuatan pegawai dan anggota AVSEC di seluruh negara kini meningkat seramai 4,055 orang yang ditempatkan di kesemua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports.
YB Dato’ Kamarudin berkata, “Kejayaan pelatih-pelatih yang dikecapi pada hari ini dengan menyertai pasukan keselamatan penerbangan atau aviation security ini, akan menjadikan pasukan ini lebih kuat dan mampu mengekalkan tahap kawalan dan operasi keselamatan penerbangan di tahap yang tinggi dan terbaik. Sebagai seorang pegawai dan anggota keselamatan penerbangan yang berpakaian seragam Polis Diraja Malaysia, mereka perlulah mengutamakan pembinaan sikap positif, pemantapan disiplin, kepatuhan dan keseragaman.”
Sementara itu, menurut Tan Sri Zainun, sebagai pintu masuk utama negara, Malaysia Airports telah meletakkan keutamaan keselamatan pada tahap yang tinggi dan telah menyediakan peruntukan untuk tujuan latihan dan perolehan lojistik terbaru yang berteknologi tinggi sebagai tanda komitmen Malaysia Airports dalam mengendali 39 lapangan terbang di negara ini.
“Ianya juga merupakan persediaan terhadap pematuhan piawaian peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang dinilai melalui beberapa siri pengauditan seperti ICAO Universal Security Audit Programme – Continuous Monitoring Approach (USAP-CMA), Transportation Security Administration (TSA) Audit, Last-Port of Call (LPOC) Audit, pengauditan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) di Jabatan Perdana Menteri.” tambah Zainun lagi.
Secara lazimnya, bagi melengkapkan semua pelatih dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bertugas dalam bidang keselamatan penerbangan, kesemua pegawai dan anggota AVSEC ini dikehendaki melalui latihan intensif yang melibatkan tiga fasa dalam tempoh enam bulan selepas proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan dijalankan. Bagi tujuan tersebut, para pelatih telah didedahkan kepada Program Latihan Asas Pegawai Kanan dan Anggota Polis Bantuan Fasa 1 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan PULAPOL Langkawi selama 9 minggu pertama.
Mereka turut melalui Program Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan selama 9 minggu di peringkat latihan asas Fasa 2, seterusnya ditempatkan sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA dan klia2) dalam Program On-Job Training selama 5 minggu di peringkat latihan asas Fasa-3 sebagai persediaan dan penyesuaian diri dalam mengendali operasi keselamatan penerbangan. Di antara modul latihan yang diberikan merangkumi aspek asas tugasan kepolisan, perundangan antarabangsa dan undang-undang Malaysia; semua akta, peraturan dan prosedur keselamatan penerbangan serta pelan kontinjensi menangani kecemasan di lapangan terbang.
Pada tahun 2018, pasukan AVSEC Malaysia Airports telah berjaya mengesan dan merampas 240 kes senjata api, peluru, komponen senjata api atau peluru,150 kes senjata yang dijadualkan, lebih daripada 176,000 kes rampasan senjata berbahaya dan 8 kes tangkapan pelbagai jenis dadah seberat 14.3 kilogram yang bernilai lebih daripada RM750,000.00.
Agenda majlis tersebut turut menyaksikan pemeriksaan perbarisan oleh YB Dato’ Kamarudin, diiringi oleh Raja Azmi. Selain itu, penghargaan juga telah diberikan kepada pelatih terbaik dalam bidang akademik, latihan luar (lelaki & wanita) serta pelatih terbaik keseluruhan.
Turut hadir di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan ini adalah Deputi Komisioner Polis, Dato' Dev Kumar A/L M. Sree, Timbalan Pengarah (Operasi Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti, Polis Diraja Malaysia Bukit Aman; Deputi Komisioner Polis, Datuk Ab. Rashid Bin Ab. Wahab, Timbalan Ketua Polis Selangor; di samping pengurusan tertinggi Malaysia Airports yang lain. Seramai lebih kurang 1,200 orang awam turut hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah ini.