SEMPORNA, SABAH – Malaysia Airports menerusi inisiatif Program Tanggungjawab Korporat (CR) Malaysia Airports, MYAirportCARES telah menyumbang pek kelengkapan asas sekolah kepada 628 pelajar daripada komuniti daerah Semporna yang bernilai RM120,000.00 baru-baru ini. Inisiatif ini bertujuan untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar dalam mengharungi sesi persekolahan di norma baharu ini. Terkini, inisiatif MYAirportCares ini telah menyantuni lebih 4,000 pelajar secara keseluruhan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara. Pek yang merangkumi kelengkapan asas sekolah termasuk pakaian seragam, beg, kasut dan alat tulis serta pelitup muka.

Menurut Pengerusi Malaysia Airports, Dato’ Seri Diraja Zambry Abd Kadir, “Sebagai pengendali lapangan terbang utama negara, tanggungjawab kami bukan sahaja untuk memberi perkhidmatan kepada penumpang dan pengunjung lapangan terbang kami. Kami juga menggalas tanggungjawab sosial yang besar dan dari situlah bermulanya keperluan untuk merangka aktiviti tanggungjawab korporat yang menyeluruh. Ini merupakan antara fokus utama kami untuk menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti di sekitar lapangan terbang kami.”

“Inisiatif ini merangkumi seluruh negara, termasuk di Semporna di mana Malaysia Airports mengendalikan Padang Terbang sebagai kemudahan pengangkutan kepada komuniti setempat. Kami berharap dengan sumbangan ini, pelajar-pelajar di sekitar daerah Semporna lebih bersemangat untuk menimba ilmu,” tambah Dato’ Sri Zambry.

Upacara sumbangan telah diketuai oleh Hasbi Hj Said selaku Pengurus Lapangan Terbang Tawau di Dewan Tionghua Semporna yang turut dihadiri oleh Tuan Ibnu Jaani Pegawai Pendidikan Daerah Semporna serta 32 orang wakil pelajar.
