Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

Kerjasama Pelbagai Agensi Diuji Bagi Memastikan Tahap Keselamatan Lapangan Terbang Berada Di Tahap Tertinggi

Pengujian Tahap Kesiapsediaan Agensi Menghadapi Kemungkinan Berlaku Kecemasan di Kompleks Bunga Raya KLIA

SEPANG– Sebuah latihan berjadual Latihan Kebakaran & Pengungsian di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (Kod IATA: KLIA) telah berjaya dilaksanakan oleh Malaysia Airports. Latihan tersebut bertindak untuk menguji tahap kesediaan pihak pengendali lapangan terbang dan agensi-agensi dalam menghadapi detik-detik kecemasan serta kerja-kerja menyelamat sekiranya terjadi sebarang kecelakaan.

Perancangan selama beberapa bulan yang telah diterajui oleh Jawatankuasa Kecemasan Lapangan Terbang turut menyaksikan hasil kolaborasi berkesan daripada pelbagai agensi seramai 100 orang daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Luar Negeri (KLN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disamping agensi-agensi terlibat yang lain.

Objektif latihan ini diadakan adalah bagi memastikan kelancaran proses pengungsian atau evakuasi dijalankan dengan teratur dan lancar, menguji keberkesanan sistem pepasangan keselamatan kebakaran (aktif & pasif) sedia ada, menguji keberkesanan pasukan bertindak semasa kecemasan, komunikasi dan koordinasi bagi perancangan latihan serta perancangan kecemasan sedia ada termasuk pematuhan kepada keperluan mengadakan latihan kebakaran & pengungsian bangunan secara berkala sepertimana yang terkandung di dalam Pelan Kecemasan Aerodrom KLIA (KLIA Aerodrome Emergency Plan - AEP) dan Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedure – SOP).

Inisiatif ini dijalankan dalam usaha Malaysia Airports meningkatkan serta mengekalkan tahap keselamatan di semua ruang di kawasan lapangan terbang untuk berada di tahap keselamatan paling tinggi. Umum mengetahui, kompleks yang telah dirasmikan pada 14 September 1998 tersebut merupakan sebuah kawasan yang mempunyai akses yang amat ketat dari segi penggunaan kerana ianya cuma digunakan oleh individu-individu kenamaan, berkepentingan negara serta tetamu negara bagi lawatan rasmi. Selain menempatkan bilik kenamaan dan orang berkepentingan (VVIP), kompleks tersebut turut mempunyai Dewan Persidangan, Pejabat Pegawai Protokol serta Pejabat Imigresen yang turut dilengkapi dengan sistem perlindungan kebakaran yang mematuhi kehendak-kehendak Perakuan Bomba sepertimana yang ditetapkan dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Pengurus besar kanan MA (Sepang) Sdn Bhd Mohamad Suhaimi bin Abdul Mubin berkata, “Kemalangan dan kecemasan di lapangan terbang boleh berlaku tanpa diduga. Justeru, pelbagai siri latihan diadakan bagi menambahbaik pelbagai prosedur sedia ada supaya anggota kita sentiasa bersiap siaga.Latihan yang buat julung kali ini mendapat kerjasama dan penglibatan sepenuhnya daripada pihak JPM dan KLN mampu meningkatkan koordinasi dan keberkesanan komunikasi antara petugas daripada kesemua jabatan dan kakitangan Malaysia Airports terutamanya melibatkan pergerakkan individu kenamaan”.

“Ini adalah penting bagi memastikan bahawa kesemua agensi terlibat dapat bersiap sedia dengan sebarang kecemasan agar ianya boleh diurus tadbir dengan baik dan berkesan. Ianya bagi memastikan sistem pengoperasian di lapangan terbang tidak terjejas serta dalam pada masa yang sama dapat menjaga nama baik Malaysia di mata dunia”, tambah Suhaimi lagi.

Senario latihan ini dimulakan dengan letupan kecil yang disusuli dengan asap tebal di bilik pemeriksaan bagasi ketika urusan ketibaan delegasi VVIP negara asing. Tugas memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dan menyelamat Malaysia Airports yang lebih dikenali sebagai Airport Fire and Rescue Service (AFRS) yang tiba sejurus menerima panggilan berkaitan kejadian tersebut. Letupan itu mengakibatkan 2 orang mangsa mengalami cedera ringan dan menerima rawatan daripada petugas dari Pejabat Kesihatan KLIA. Latihan selesai selepas lebih kurang dua jam dijalankan.

You might also like:

SEPANG - Penang continues to demonstrate its attractiveness as a top travel destination as…

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

Section Heading