Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

Majlis Graduasi Tadika Aerokids & Taska Aerotots Malaysia Airports Bukti Keprihatinan Syarikat Terhadap Wargakerja

SEPANG – Malaysia Airports buat julung kalinya meraikan 80 orang kanak-kanak di Majlis Graduasi Pertama bagi Tadika AeroKids & Taska AeroTots Malaysia Airports. Penubuhan tadika dan taska tersebut adalah satu lagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat yang bertujuan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif serta memberi kemudahan kepada warga kerjanya yang berkerja di sekitar KLIA. 

Majlis yang berlangsung di Sama-Sama Hotel KLIA itu disempurnakan oleh Datuk Badlisham Ghazali, Pengarah Urusan Malaysia Airports dan Dato’ Hashim Ibrahim, Pengarah Urusan Pucuk Emas Sdn. Bhd. serta disaksikan oleh Datin Rogayah Ibrahim, Pengerusi Persatuan Suri & Wanita Malaysia Airports (AERONITA), pihak pengurusan kanan Malaysia Airports dan para ibu bapa.

Badlisham berkata, “Penubuhan tadika dan taska ini merupakan satu langkah syarikat menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi wargakerja masing-masing. Kemudahan yang selesa, selamat dan berdekatan dengan ibu-bapa memberikan kelapangan fikiran kepada wargakerja untuk lebih fokus dalam menjalankan tugas seharian mereka bagi mencapai misi dan visi syarikat.”

Majlis graduasi ini merupakan kejayaan kumpulan pertama anak-anak Malaysia Airports dari tadika dan taska tersebut. Selain menerima sijil graduasi, beberapa  anugerah seperti Anugerah Kepimpinan, Anugerah Akhlak Mulia, Anugerah Cinta Buku dan beberapa anugerah lain turut disampaikan bagi memberi motivasi kepada anak-anak tersebut.

Di majlis yang sama, Malaysia Airports turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Aeronita yang telah menyumbangkan buku-buku dan peralatan perpustakaan dalam usaha memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak di tadika dan taska tersebut. Perpustakaan mini telah ditubuhkan oleh Aeronita dan dirasmikan oleh Pengerusi Aeronita, Y. Bhg. Datin Rogayah Ibrahim pada 26 Mei 2016.

Malaysia Airports dengan kerjasama pihak pengusaha Tadika AeroKids & Taska AeroTots Malaysia Airports, Pucuk Emas Sdn. Bhd. secara berterusan memantau kualiti dan mutu perkhidmatan tadika dan taska tersebut melalui penubuhan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ir Suradini Abdul Ghani, Pengurus Besar Kanan Non-Aviation Business serta lima orang Pengurus Kanan Malaysia Airports yang lain. Selain itu, Persatuan Ibubapa dan Pendidik (PIBP) yang diwakili oleh ibu bapa dan pengusaha tadika dan taska itu turut ditubuhkan bagi memberi ruang untuk mereka menyuarakan cadangan dan pandangan dalam meningkatkan kualiti pengurusan dan program yang dijalankan.

Selain daripada proses pembelajaran seharian, pengurusan tadika dan taska ini direncanakan dengan pelbagai aktiviti lain yang membantu dalam pembentukan sahsiah diri anak-anak. Antaranya termasuklah Hari Sukan Tadika dan Taska Malaysia Airports, lawatan sambil belajar ke Terminal KLIA, jamuan hari raya dan sambutan hari lahir anak-anak dan guru-guru pada setiap penggal.

Bagi penggal hadapan, seramai 32 orang kanak-kanak telah mendaftar dan menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak adalah seramai 106 orang bagi sesi pembelajaran tahun 2017 di tadika dan taska tersebut.

 

You might also like:

SEPANG - Penang continues to demonstrate its attractiveness as a top travel destination as…

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

Section Heading