Section Heading

Scam Alert Scam Alert                  

Section Heading

 

Section Heading

Section Heading

Malaysia Airports Sumbang Rm87 Ribu, Bantu Persiapan Raya Pelajar Kurang Berkemampuan Daripada SK KLIA Dan SK Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang

PUTRAJAYA – Datuk Badlisham Ghazali, Pengarah Urusan Malaysia Airports dan isteri, Datin Rogayah Ibrahim meluangkan masa hampir dua jam untuk bersama-sama para pelajar yang terpilih daripada Sekolah Kebangsaan KLIA (SK KLIA) dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi (SK BBST), Sepang untuk membeli belah baju dan kasut raya mereka di pusat membeli belah terkemuka, Parkson di Alamanda Putrajaya tengahari semalam.

Seramai 108 pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga enam daripada kedua-dua buah sekolah itu telah dipilih berdasarkan latar belakang dan kemampuan keluarga masing-masing, telah dibawa ke Alamanda Putrajaya menggunakan tiga buah bas milik Malaysia Airports untuk tujuan membeli belah pakaian raya mereka sambil diiringi oleh 23 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports.

Malaysia Airports telah memperuntukan sejumlah RM300 bagi setiap pelajar untuk membeli-belah baju dan kasut raya pilihan mereka di Parkson sambil dibantu oleh para sukarelawan.

Mengulas tentang sumbangan persiapan perayaan bagi pelajar-pelajar ini, Badlisham berkata, “Sumbangan ini adalah sebagai tanda keprihatinan kami sebagai sebuah entiti korporat dan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami kepada komuniti setempat di mana kami beroperasi. Diharapkan dengan sedikit bantuan dan sumbangan daripada kami ini, mampu membawa sinar bahagia kepada pelajar ini dan keluarga mereka apatah lagi dengan kehadiran bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tiba.

“Selain itu, saya juga berharap sumbangan ini mampu menyuntik semangat anak-anak ini untuk memberikan yang terbaik dalam pembelajaran mereka dan sekaligus meneruskan legasi kita semua untuk berbakti kepada keluarga, agama, bangsa dan negara di masa hadapan,” tambah Badlisham.

Sebaik selesai membeli belah di Alamanda Putrajaya, para pelajar ini telah dibawa ke The Everly Hotel Putrajaya untuk menikmati jamuan bufet berbuka puasa yang turut dihadiri oleh rakan-rakan media Malaysia Airports.

Di majlis yang sama, para pelajar ini turut menerima sumbangan duit raya berjumlah RM200 dan hamper coklat bernilai RM300 setiap seorang daripada Malaysia Airports.

Bagi pihak pelajar-pelajar SK KLIA, Guru Besar SK KLIA, Puan Rumiah Abd Jalil menzahirkan rasa syukur dan terima kasih beliau di atas kesudian Malaysia Airports untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan terutamanya di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, “Kami di SK KLIA amat berbesar hati di atas keprihatinan yang dizahirkan oleh Malaysia Airports dalam meringankan beban para pelajar kami dalam persiapan mereka menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. Kami mendoakan agar usaha murni Malaysia Airports dan semua sukarelawan yang terlibat pada hari ini diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh-Nya, lebih-lebih lagi dengan keberkatan bulan Ramadan ini.

Turut hadir dalam jamuan berbuka puasa tersebut adalah Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports, YM Raja Azmi Raja Nazuddin, pengurusan kanan Malaysia Airports, Guru Besar SK BBST, Puan Sa’adiah Hussin, guru-guru pengiring SK KLIA dan SK BBST dan warga kerja Malaysia Airports.

You might also like:

SEPANG - Penang continues to demonstrate its attractiveness as a top travel destination as…

Malaysia Airports and Kraftangan Malaysia Showcase Malaysia’s Vibrant Textiles Heritage…

Section Heading